Skip to main content
Language and globalization

Chinglish ok, apa!

By June 2, 2010July 28th, 2019No Comments3 min read4,019 views

Multilingual sign in Namtso (Image Credit: Wikipedia)

Malay version of my recent blog post about Chinglish

Translated by Ridwan Wahid

Bayangkan sekiranya akhbar New York Times meminta pembacanya menghantar ‘blonde jokes’ kegemaran mereka ataupun melaporkan karenah-karenah paling lucu yang pernah mereka saksikan yang melibatkan orang-orang kulit berwarna. Sekiranya kempen ini benar terjadi, sudah tentulah alam blogosfera akan dipenuhi dengan lawak jenaka sebegini dan sudah tentulah sesiapa saja yang berminat dalam pengajian gender atau perhubungan kaum akan mengupas perihal peristiwa ini di dalam blog, facebook dan tweeter, sehinggakan ahli akademik daripada bidang-bidang yang sama akan turut sama teruja dan mengutarakan pelbagai analisa kenapa wanita berambut perang atau orang kulit berwarna boleh berkelakuan aneh sebegitu rupa.

Kita bernasib baik kerana perkara sedemikian tentu saja tidak akan berlaku. Jika ianya berlaku sekalipun, sudah tentu ia akan dilabelkan sebagai seksis ataupun berbaur perkauman. Saya bersyukur kerana perkara sebegitu bukan lagi menjadi suatu kebiasaan dan rasa saya sudah sampai masanya untuk kita memahami dalam kaedah yang sama kenapa kita perlu ada kepelbagaian linguistik. Mengejek bahasa seseorang adalah tidak lucu langsung! Ianya sebenarnya sama saja sempit dan sama saja prejudis seperti lawak jenaka yang seksis atau berbaur perkauman – cuma, walaupun isu ’sexism’ dan ’racism’ sememangnya dianggap salah, tidak ramai pula yang menganggap prejudis dalam penggunaan bahasa itu adalah satu kesalahan yang sama saja beratnya.

Baru-baru ini, New York Times menyiarkan satu artikel mengenai Chinglish, dan untuk beberapa ketika ianya menjadi artikel yang paling kerap disebarkan melalui emel oleh pembaca akhbar tersebut. Sememangnya artikel ini telah menerima satu respon yang luarbiasa daripada pembacanya dan ianya juga telah menjadikan alam blogofesra berdengung dengan cerita mengenainya sehinggakan akhbar tersebut terdorong untuk meminta pembacanya menghantar gambar yang menunjukkan “papan tanda aneh dari luar negara.” Malah, terdapat satu blog akademik yang turut sama menyahut seruan akhbar tersebut dengan mengutarakan beberapa analisa untuk menerangkan bagaimana “kesilapan penterjemahan dari bahasa Cina yang tidak sengajakan boleh membawa kepada maksud yang aneh dan salah.”

Saya tidak ada masalah untuk mempersendakan papan tanda yang ganjil dan janggal bunyinya. Apa yang saya bantah ialah mempersendakan bahasa dalam papan tanda tersebut kerana kononnya ia tidak memenuhi suatu standard penutur asli.

Menjadikan seluruh dunia belajar bahasa Inggeris dan pada masa yang sama menyemai dalam penutur bukan asli rasa rendah diri merupakan langkah yang baik untuk memajukan perniagaan, iaitu industri TESOL yang bernilai berbilion-bilion dolar. Ianya merupakan satu perancangan yang eksploitatif. Ianya juga satu perlakuan yang sungguh tidak bermoral.

Artikel New York Times tersebut diikuti dengan dua pembetulan kerana khabarnya mereka tidak berjaya memperolehi gelaran yang betul untuk salah seorang pemberi maklumat mereka yang berbangsa Cina dan juga ejaan yang betul untuk nama perisian penterjemahan Cina ke Bahasa Inggeris semasa artikel tersebut dicetak. Saya seorangkah yang dapat melihat ironinya di sini?

Ingrid Piller

Author Ingrid Piller

Dr Ingrid Piller, FAHA, is Distinguished Professor of Applied Linguistics at Macquarie University, Sydney, Australia. Her research expertise is in bilingual education, intercultural communication, language learning, and multilingualism in the context of migration and globalization.

More posts by Ingrid Piller

Leave a Reply